Monday, 2 May 2016

Siapa Musuh Sebenar Umat Islam?



Siapa Musuh Sebenar Umat Islam?

Kehidupan seorang  Muslim  dan mukmin yang mengucap dua kalimah syahadah tidak akan sekali-kali lari dari tempias cabaran dan dugaan. Nikmat adalah cabaran, sahabat juga cabaran ,keluarga juga menjadi dugaan dan harta juga menjadi dugaan. Namun hakikatnya, siapakah yang menjadi cabaran dan musuh utama bagi kita, umat Islam yang mengaku beriman dengan Allah?

ORANG MUKMIN  YANG MENDENGKI
Hasad dengki bukan sahaja satu penyakit hati malahan bencana dan sifat buruk yang perlu kita jauhi.Hasad merupakan penyakit hati yang amat berbahaya.Manusia  yang jiwanya berpenyakit dan hatinya berkarat mempunyai sifat hasad dalam dirinya. Kata Ibnu Mu’taz ,” Orang yang hasad itu marah kepada  orang  yang tidak berdosa,kikir terhadap sesuatu yang bukan kepunyaannya dan sentiasa mencari atau meminta sesuatu  yang  tidak akan diperolehinya. Bencana hasad dengki ini bukan sahaja member kesan kepada individu yang terlibat sahaja, malahan mengganggu ketenteraman masyarakat sekeliling kerana bencana ini mampu mendorong seseorang melakukan apa sahaja keburukan dan hal-hal yang dilarang oleh Allah. Firman Allah Taala dalam surah al-Maidah ayat 27 hingga 30 jelas menunjukkan sikap inilah yang mendorong  Qabil membunuh saudara kandungnya, Habil.

Teliti personaliti diri dan hayati sifat-sifat dalam diri kita, adakah kita tergolong dalam golongan yang mempunyai penyakit hasad dengki ?Bagaimana pula seorang  Muslim menghadapi golongan mukmin yang mendengki ini?Adakah kita patut mencaci mereka?Adakah kita patut membiarkan mereka?
Sebagai seorang  Muslim yang hidup di dunia ini bagi menjayakan amanah Ilahi, perlulah menunjukkan contoh dan akhlak yang baik kerana akhlak yang baik merupakan buah daripada risalah yang disampaikan oleh Rasulullah.Selagi mampu menyumbang kepada Islam, sumbangkanlah kerana sesungguhnya Allah telah membeli kehidupan dan harta seorang Mukmin dengan memberinya ganjaran syurga.Selain itu, segala derita kita, serahkanlah kepada Allah Yang Maha Mengetahui kerana Allah tidak pernah alpa terhadap perbuatan orang yang zalim. 
   
ORANG MUNAFIK  YANG MEMBENCI
Munafik, perkataan yang sering didengar dan diungkapkan, satu golongan yang boleh dikategorikan sebagai musuh dalam selimut atau ibarat gunting dalam lipatan. Sejarah tidak sunyi dari kewujudan mereka, dari zaman baginda Rasulullah sehinggalah zaman globalisasi  kini. Golongan ini sentiasa didorong oleh perasaan untuk merangkul  kepentingan duniawi sehinggakan sanggup melakukan apa sahaja. Betapa  gerakan Islam yang teguh menghadapi segala tipu muslihat musuh-musuh Islam dari timur atau barat , mungkin dapat digugat atau diruntuhkan oleh cakap-cakap orang munafik yang memutar lidah, mengembangkan fitnah dalam lingkungan masyarakat jelas menunjukkan bahayanya golongan munafik.Antara ciri-ciri golongan munafik adalah berdusta apabila berkata,mungkir apabila berjanji dan mengkhianati amanah.Di dalam al-Quranul Karim, banyak disebut tentang golongan munafik dan ditujukan satu surah khusus untuk mereka, iaitu surah al-Munafiqun.
Umat Islam yang berjiwa rabbani dan teguh membawa agama Allah haruslah meneladani Rasulullah dalam menangani golongan ini.Pelbagai peristiwa tentang golongan munafik telah terjadi pada zaman Rasulullah, seperti peristiwa hadith al-ifk, pembinaan Masjid Dhiror dan kisah buruh Saidina Umar.Rasulullah sentiasa mengambil langkah proaktif dan bijaksana dalam menghadapi golongan ini.Apa yang perlu kita lakukan adalah meneladani baginda,menambahkan keimanan serta kesungguhan beribadah kepada Allah. Tidak cukup dengan itu, bekalan seorang daie dalam menghadapi golongan ini juga adalah sentiasa tabah danberlindung di bawah rahmat Allah serta tidak bermakna mendiamkan diri sahaja melihat perbuatan angkara golongan munafik tanpa berusaha membendung dan membanteras tindakan mereka.

ORANG KAFIR YANG MEMERANGI
Orang kafir merupakan pengembang dan penyokong kebatilan. Sudah terang lagi bersuluh,mereka selamanya adalah musuh kebenaran dan keimanan hingga hari kiamat. Mereka juga merupakan golongan penentang yang memerangi kebenaran risalah-risalah yang dibawa oleh para rasul, bermula seawal penciptaan Nabi Adam.Sebagai seorang Muslim, kita perlulah mengetahui bahawa pertarungan antara iman dan kufur berlarutan sejak dulu dan sepanjang hayat sehinggalah Allah mewarisi bumi ini dan segala isinya.
Para pendakwah islam biarpun di mana pun kita berada, biar bila-bila masa pun,hendaklah mempunyai kesabaran yang tinggi dalam menyambung rantai perjuangan Rasulullah.Apabila ditelusuri sirah Rasululah, baginda pernah dipukul oleh orang kafir, dan menerima ancaman bunuh berkali-kali oleh orang kafir.  Ketika beliau berhijrah ke Taif,orang-orang kafir menggunakan anak-anak muda, hamba sahaya dan samseng-samseng mereka untuk menyakiti dan melempar beliau dengan batu. Namun beliau tetap utuh membawa perjuangan ini dan hanya meletakkan sepenuh pengharapan kepada Allah.
Mehnah demi mehnah serta tribulasi melanda umat Islam sejak zaman berzaman.Kalau dahulu kala berlaku peperangan bersenjata antara orang Islam dan orang kafir,tokoh-tokoh gerakan Islam dari seluruh pelosok dunia dibunuh oleh golongan kafir, manakala kita pada hariini pula leka apabila diserang pemikiran dan jiwa oleh anasir kafir. Kita terlalu hanyut dengan keseronokan dan hedonisma yang dicipta oleh orang kafir sehingga terlupa agenda sebenar kita hidup di muka bumi ini.Sedarlah, dakwah Islam menuntut pengorbanan dankesatuan.Bersatulah wahai kaum Muslimin, kerana musuh kafir hanya menunggu dan bertepuk tangan melihat perpecahan dalam kalangan kita.Cari titik persamaan dan hapuskan perpecahan.




SYAITAN YANG MENYESATKAN
Pangkalan utama segala bencana dan penyelewengan adalah tipu daya syaitan.Tidak perlu disangkal, syaitan adalah musuh mukmin yang paling besar.Ia tidak jemu menipu,menimbulkan keraguan dan merangsang ke arah kejahatan. Kita perlu sedar, jalan-jalan yang dilalui oleh syaitan menyusupi hati manusia amat banyak antaranya adalah ketika seseorang berada dalam keadaan  marah,nafsu syahwat,tergesa-gesa,hasad dengki, kikir , takabbur dan buruk sangka terhadap muslimin yang lain. Bagi mengelakkan kita terjebak dengan jalan syaitan, perlulah kita kuatkan diri dan menutup segala jalan-jalan yang boleh dimsuki syaitan.Namun persoalannya, bagaimanakah kita menutup laluan syaitan?
Firman Allah dalam surah Al-A’raf ayat 201,menjelaskan kepada kita bahawa ketaqwaan kepada Allah menjadi titik tolak bagi membentengi syaitan. Sempurnakan ibadah, muraqabah kepada Allah juga merupakan langkah utama bagi mengelakkan hasutan syaitan.

NAFSU YANG MERANGSANG
Nafsu adalah tempat berinteraksi segala buruk dan yang baik, halal dan haram, hak danbatil.Nafsu meman g sentiasa menjerumuskan kita kepada keburukan jika tidak dikawal dengan lingkaran taqwa.Antara teknik untuk kita mengawal nafsu adalah dengan sedikitnya makan, sedikit tidur, bercakap sekadar perlu dansabar menanggung gangguan orang lain. Para dai’e haruslah sentiasa berjihad melawan hawa nafsu.Tambahan pula pada zaman moden ini, banyak yang membelenggu kita dan membuat kita perlu bermujahadah dalam meneruskan  perjuangan Islam dan mengabaikan keseronokan dunia yang lain. Untuk menang dalam medan-medan yang lain, kita harus bangkit dan menang melawan hawa nafsu sendiri.

KESIMPULAN
Bangkit dan sedarlah serta kenali musuh-musuh kita, sama ada musuh dari dalam diri kita atau dari luar. Apa yang penting setelah kita ketahui siapa musuh kita, adalah tindakan kita bagi menghadapi mereka. Jangan hanya menunggu serangan baru kita akan mengatur strategi tetapi aturlah strategi dari awal. Muslim yang professional harus bangkit dan melawan anasir-anasir negatif dalam diri dan masyarakat.Kita perlu lebih peka dalam menilai yang mana satu kaca yang mana satu permata agar kita tidak tertipu dengan dunia akhir zaman ini.Kekal istiqamah dan bangkit berjuanglah!













No comments:

Post a Comment