(يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ)
“ Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu" (Al-Baqarah: 208)
Jelas difahami daripada petikan ayat dari Kalamullah ini, bahawasanya Islam itu datang kepada kita sebagai sebuah ad-deen yang lengkap, mencakupi seluruh aspek dalam kehidupan, baik dari hal-hal yang berkaitan dengan taharah sehinggalah kepada hal berkaitan pentadbiran yakni pemerintahan yang berteraskan nilai Islam yang sebenar. Namun, adakah cukup sekadar melafazkan, tanpa penghayatan serta amalan yang berterusan?
Adakah kita lupa?
Sirah perjuangan telah banyak membuktikan, datangnya Islam sebagai suatu rahmat buat seluruh alam. Kita dapat melihat bagaimana Islam itu disebarkan melalui peranan junjungan besar Rasulullah SAW serta sahabat sehingga setiap pelusuk dunia dapat menikmati keizzahan Islam suatu masa dahulu. Zaman berganti zaman, Islam semakin berkembang pesat dan sebarannya makin meluas. Namun, di sana terdapat mereka yang tidak senang duduk apabila melihat Islam semakin berkembang dan secara terang-terangan mereka terus memusuhi Islam dan menjalankan pebagai usaha untuk menjatuhkan Islam. Kita dapat lihat, apabila empayar Islam terkubur setelah jatuhnya Kerajaan Turki Uthmaniyah pada 3 Mac 1924, Islam mula dijuzuk-juzukkan dan kesatuan umat Islam kelihatan mula berpecah-belah. Implikasinya, kita dapat lihat bagaimana umat Islam pada hari ini, lebih-lebih lagi anak-anak muda, akidahnya makin terpesong, diselubungi anasir-anasir yang menyebabkan aset yang berharga ini semakin jauh dari ajaran Islam yang sebenar.
Tidak terhenti setakat itu, kita dapat lihat negara kita pada hari ini makin dihimpit dengan bebanan yang tidak dapat ditanggung oleh rakyat. Apatah lagi dengan skandal politik, pecah amanah, isu 1MDB, GST, dan TPPA menunjukkan pemimpin kerajaan hari ini gagal menunjukkan akhlak yang sepatutnya ditunjukkan oleh mereka yang beragama Islam. Jati diri seorang Muslim pada hari ini juga dilihat sudah semakin jauh dari cara hidup Islam yang sebenar. Barat diagung-agungkan, pentas-pentas khayalan menjadi taruhan. Kejahatan mula bermaharajalela. Inilah akibatnya apabila Islam hanya diraikan pada hari-hari kebesaran dan tidak dihayati sepenuhnya dalam setiap amalan dan perlakuan.
Negara Islam, Negara Berkebajikan.
(وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ)
“ Dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertaqwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami seksa mereka sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan. ” (Al-A’raf : 96)
Apakah definisi sebenar negara Islam? Adakah cukup sekadar rakyat sesebuah negara itu semuanya beragama Islam? Pastinya di sana terdapat ciri-ciri serta garis-garis panduan yang perlu dipatuhi dalam menentukan adakah sebuah negara itu benar-benar Islam dari segenap sudut, malah yang paling penting ia Islam pada sifar dan perlakuan, bukan sekadar Islam yang gah pada nama. Antara ciri yang boleh disebutkan di sini, sebuah negara yang mengakui ia sebagai Islam wajib menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai sumber utama perlembagaan, bukan berpandukan pada akal dan kehendak manusia dalam merencanakan sesuatu dasar bagi sesebuah negara. Setelah dasar itu diimplementasikan, maka terpundak di bahu setiap pemimpin untuk melaksanakan setiap urusan pentadbiran berpandukan syariat dan seterusnya mengajak rakyat untuk bersama-sama menjalankan kewajipan sebagai seorang Muslim dan Mukmin dalam mengejar redha Allah SWT. Tidak dinafikan, di dunia ketika ini terdapat banyak negara yang majoritinya orang Islam, namun apa yang menyedihkan, hanya segelintir sahaja yang berusaha untuk menjadikan syariat Islam sebagai asas dalam pembentukan sesebuah negara.
PAS Terus Mendepani Cabaran.
Bagi mewujudkan sebuah negara yang benar-benar membawa identiti Islam, banyak usaha yang perlu dikerahkan, juga tenaga yang perlu digerakkan. Di Malaysia sendiri, kita dapat lihat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebagai sebuah Jemaah Islam yang sentiasa komited serta konsisten dalam membawa idea-idea pembaharuan dalam usaha meletakkan Islam sebagai junjungan utama dalam pemerintahan. Presiden PAS, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang sendiri menjadi orang penting dalam pengolahan idea yang beliau sendiri gagaskan, antaranya Unity Government, Kerajaan Teknokrat, Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dan yang terbaru Blok Politik Ketiga yang dilancarkan baru-baru ini. Berbekalkan slogan “Beristiqamah Hingga Kemenangan”, PAS tidak pernah lari dari prinsip dan dasar perjuangan yang dibawa, menunjukkan PAS bukanlah parti yang konservatif yang tidak memikirkan keadilan buat rakyat jelata. Malah, strategi-strategi yang digagaskan ini jelas menunjukkan bahawasanya PAS sangat terkehadapan dalam merancang serta membela hak-hak rakyat seiring dengan peredaran zaman.
(...بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ)
“…Negerimu adalah negeri yang baik (nyaman) sedang Tuhanmu adalah Tuhan yang Maha Pengampun. ” (Saba’ : 15)
Sebagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat dahulu berjuangan membentuk negara berasakan keimanan, begitu jugalah PAS melaui tiga elemen utamanya iaitu dakwah, tabiyah, dan siasah berusaha membela syiar Islam serta bergadai keringat dan harta benda dalam memastikan cita-cita murni ini terlaksana seterusnya mencapai kemenangan yang paling agung, iaitu redha Allah SWT. Semoga kita anak-anak gerakan pada hari ini terus istiqamah dalam perjuangan menegakkan Islam, agama yang benar dan mulia di sisi Allah SWT.
Sumber :
-Manhaj Haraki Dalam Sirah Nabi SAW; Muhammad Munir Ghatban
-Blog tarbawi.my
-Manhaj Haraki Dalam Sirah Nabi SAW; Muhammad Munir Ghatban
-Blog tarbawi.my


