Monday, 15 February 2016

Keruntuhan Akhlak Remaja : Salah Siapa?

Masyarakat semakin parah. Para remaja semakin menjadi semakin liar dan tidak tentu arah. Hampir setiap hari ada sahaja berita yang memaparkan tentang masalah sosial remaja kini. Masalah-masalah sosial seperti zina, buang bayi, ketagihan dadah, seks bebas, vape, hedonism, dan banyak lagi semakin menular dalam kalangan anak remaja kini. Sebagai umat Islam, tambahan lagi sebagai ahli jemaah dan pendokong PAS, kita seharusnya mengambil cakna tentang isu ini. Hal ini kerana remaja atau pemuda merupakan pelapis pimpinan Islam untuk masa akan datang. Betapa bernilainya tenaga kerja seorang pemuda itu dalam menggerakkan kerja-kerja Islam.

Para remaja yang berakhlak mulia diperlukan untuk memelihara kemuliaan agama Islam, seterusnya menjadi tunggak utama dalam gerakan Islam, PAS khususnya di Malaysia. Memetik kata-kata dari Sheikh Dr. Abdullah Nasih ‘Ulwan :

“Pemuda adalah banteng pertahanan jemaah yang paling ampuh”

Maka, jelaslah bahawa betapa besarnya peranan seorang pemuda dalam memikul beban dakwah Islam ini. Akan tetapi, senarionya berbeza di Malaysia, para remaja dilihat semakin hanyut dalam dunia yang menipu ini. Banyak masalah sosial dan keruntuhan akhlak dipaparkan di dada-dada akhbar, mahupun di media elektronik. Siapakah yang bersalah?

Punca Membawa Padah

Dalam mencari sebab bagaimana masalah keruntuhan akhlak ini semakin membarah dalam kalangan remaja, perkara utama yang perlu diambil kira adalah institusi kekeluargaan itu sendiri. Keluarga merupakan institusi yang terdekat bagi seorang remaja kerana setiap kehidupan bermula dari sebuah keluarga. Keruntuhan institusi kekeluargaan pada hari ini dilihat sebagai salah satu faktor berlakunya masalah sosial dalam kalangan remaja kini.

Dunia kini kian berubah mengikut perdedaran zaman. Bebanan kewangan yang terpundak di bahu ibu bapa perlu diselesaikan untuk menampung perbelanjaan keluarga. Tambahan pula desakan ekonomi meruncing kini dek cukai-cukai yang membebankan. Sudah pasti ibu bapa akan sibuk mencari rezeki di luar sehingga mengabaikan anak-anak. Anak-anak yang terabai inilah yang sangat berpotensi untuk terlibat dalam gejala sosial, jika tidak pandai mengawal diri. Ini tidak termasuk lagi masalah-masalah institusi keluarga yang lain seperti penceraian, pilih kasih, penderaan, sumbang mahram dan banyak lagi. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa institusi kekeluargaan merupakan salah satu faktor utama yang membawa kepada permasalahan ini. Ibu bapa mempunyai peranan yang besar dalam mendidik anak-anak dan memimpin keluarga ke jalan yang benar supaya tidak dipersoalkan di akhirat kelak. Sepertimana firman Allah :

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu…” (At-Tahrim : 6)

Selain itu, antara punca lain yang manjadi penyumbang kepada faktor berlakunya masalah sosial dalam kalangan remaja kini adalah kurangnya didikan agama dan nilai murni. Tidak ramai remaja pada zaman kini yang mempunyai kefahaman agama yang mendalam serta akhlak yang baik. Adapun terdapat golongan remaja yang mempelajari ilmu agama, tetapi tidak mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Ilmu agama hanya dipelajari sahaja dalam di dalam kelas dan apabila keluar dari kelas, melayang ilmu-ilmu berkenaan dibawa angin lalu. Didikan agama sejak dari kecil yang bermula di rumah sangat penting dalam menerapkan kefahaman asas tentang Islam dan akhlak mulia, bersesuaian dengan peredaran zaman.

Media massa juga banyak memberi impak dalam kehidupan sosial para remaja. Media cetak mahupun media elektronik pada masa kini banyak mempengaruhi gaya hidup remaja. Sejak dari kecil lagi, kanak-kanak seawall usia setahun telah diajar untuk menontom cerita kartun dan animasi. Mereka banyak terdedah dengan aksi-aksi ganas, kurang sopan dan tidak menutup aurat semasa menonton cerita berkenaan. Maka tidak hairanlah mereka sering menjadikan watak kartun atau superhero sebagai idola mereka. Perkara ini sekaligus boleh menyebabkan mereka menjadi malas dan tidak mempunyai wawasan kerana hanya mahu berseronok sahaja. Nah, begitu hebat pengaruh media ini. Bahan-bahan bacaan seperti komik dan majalah hiburan yang menjadi kegemaran anak muda juga boleh dikategorikan sebagai perkara yang merosakkan minda dan akhlak para remaja kini.

Pembangunan teknologi di seluruh dunia tidak dapat dinafikan kehebatannya. Selaras dengan peredaran zaman, teknologi-teknologi baru dan hebat telah tercipta, ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Contohnya, telefon pintar, komputer riba, jaringan internet yang luas dan banyak lagi. Akses yang luas ini jika tidak digunakan dengan betul oleh para remaja kini, boleh mendatangkan kemudaratan. Mereka dengan mudah akan dapat melayari dan mengunjungi laman-laman web yang tidak berfaedah dan melalaikan. Mereka akan mejadikan dunia dihujung jari dan tanpa sempadan ini sebagai tempat menacari hiburan, malahan tempat rujukan utama dalam menyelasaikan masalah. Hilang sudah keberkatan berguru dan buku sebagai tempat rujukan. Tambahan lagi, anak-anak sering dimanjakan oleh ibu bapa mereka dengan ganjaran berbentuk gajet sebagai hadiah. Perkara ini lagi memudahkan para remaja terpengaruh dengan media massa yang melalaikan dan merosakkan akhlak mereka.

“Orang mukmin adalah ibarat cermin bagi Mukmin yang lain. Mereka bersaudara di antara satu sama lain. Memelihara harta bendanya dan melindungi kepetingannya masa ketiadaannya” (Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis di atas, sahabat merupakan cerminan diri seorang manusia yang bertapak di muka bumi ini. Jika baik akhlak sahabatnya, maka baiklah akhlaknya juga dan sebaliknya.  Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa rakan atau kawan merupakan antara insan yang dekat dengan diri seorang remaja. Mereka banyak menghabiskan masa bersama, tambahan lagi ketika berada di alam persekolahan. Sehubungan dengan itu, pengaruh rakan sebaya merupakan salah satu punca berlakunya keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja, jika tersilap langkah dalam memilih rakan. Sudah menjadi perkara biasa bagi seorang remaja ingin mencuba sesuatu yang baru dalam hidupnya. Jadi, mereka akan cepat terpengaruh dengan rakan-rakan yang tidak baik dan terjerumus ke kancah keburukan. Darah muda yang sentiasa bergelodak, jikalau tidak dipandu dengan baik, nescaya akan memakan diri.

Solusi Mencari Redha Ilahi

Dalam perkara ini, janganlah kita mengambil jalan mudah dan tidak memandang serius terhadap apa yang berlaku dalam masyarakat. Semua pihak seharusnya berganding bahu, mengembleng tenaga dalam menyelesaikan isu masalah sosial ini. Pendidikan awal oleh ibu bapa yang bermula di rumah perlu dititik beratkan. Kesibukan dalam mencari rezeki tidak boleh dijadikan alasan untuk ibu bapa dalam mendidik anak-anak mengikut acuan Islam. Pelbagai cara boleh dilakukan seperti menetapkan masa yang tertentu untuk meluangkan masa bersama anak-anak, mengajar anak-anak tentang al-Quran dan akhlak mulia seusai solat maghrib. Biarpun sekejap masa yang dapat diluangkan, tetapi kualiti masa yang prioriti dapat dicapai dalam mendidik anak-anak.

PAS sendiri telah mengambil langkah bijak dalam menyediakan pendidikan awal bermula dari peringkat kanak-kanak. Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) telah ditubuhkan sebagai salah satu pusat pendidikan awal yang memberi kesan kepada kanak-kanak. Mereka akan dilatih dan diajar tentang hukum Islam dan akhlak mulia. Terbukti terdapat ramai di antara kanak-kanak yang dididik di PASTI berkebolehan dalam membaca al-Quran serta mampu solat dan berpuasa dengan baik. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia haruslah menekankan kepentingan pendidikan agama dan akhlak mulia dalam silibus pendidikan di Malaysia. Satu perubahan yang drastik perlu difikirkan untuk menanam sikap yang mulia dalam diri anak muda kini. Bukan hanya di dalam silibus pelajaran Pendidikan Agama Islam sahaja, bahkan penekanan akhlak mulia dalam pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan serta Pendidikan Moral perlu diberi perhatian juga.

“Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka itulah orang-orang yang fasik” (Al-Maidah : 47)

Berdasarkan ayat di atas, sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini, kita hendaklah menegakkan hukum Allah supaya tidak tergolong dalam golongan yang dimurkai-Nya. Sejak dari dahulu lagi, PAS tidak penah lelah dalam menegakkan hukuman hudud di Malaysia. Walaupun mendapat tentangan yang hebat dari pelbagai pihak, tetapi tidak sedikitpun mematahkan semangat ahli dan peminpin-peminpin PAS dalam memperjuangkan hukuman hudud dijalankan di Malaysia. Cuba kita fikirkan apabila hukum hudud dilaksanakan, adakah zina akan terus berleluasa? Adakah minum arak akan terus menjadi kebiasaan? Kejadian rompakan dan pecah rumah akan terus menjadi-jadi? Tidak sama sekali. Hal ini kerana hukum Allah yang termaktub dalam al-Quran adalah hukum yang sempurna dan mencakupi segala aspek.

Jadi, siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Tidak perlu untuk kita menuding jari antara satu sama lain. Seharusnya, kita sebagai ahli Jemaah PAS yang faham tentang perjuangan dan dakwah Islam perlu bertindak dalam membantu remaja-remaja yang bermasalah ini. Jangan mengambil sikap lepas tangan sahaja tanpa menghiraukan keadaan semasa yang berlaku. Jangan sampai jiwa anak muda Islam itu rapuh dan akhlaknya runtuh. Pemuda pemudi inilah yang akan menjadi pengganti pemimpin untuk pemerintahan masa akan datang. Impian untuk mencapai kegemilangan semasa pemerintahan Khilafah Islamiyah akan terkubur jika anak muda rosak jiwa dan akhlaknya. Maka, bangkit dan bergeraklah dalam menyampaikan dakwah Islam. Keluar dari zon selesamu!